Apakah langkah-langkah yang perlu saya lakukan untuk melaporkan aduan berkaitan kandungan di internet?
Pertama:
Anda digalakkan untuk membuat aduan terus kepada pihak pengendali/pemilik kandungan tersebut. Jika tiada maklumat mengenai pengendali/pemilik kandungan tersebut dapat diperolehi secara terus di laman tersebut, anda dinasihatkan untuk menggunakan perkhidmatan laporan penyalahgunaan atau ’report abuse’ yang disediakan di dalam laman tersebut. Ini ialah kerana laporan sendiri dari pihak tuan/puan adalah lebih diutamakan oleh mana-mana pihak pentadbiran laman-laman sesawang.
Kedua:
Anda boleh membuat aduan kepada MCMC dengan menyertakan dokumen sokongan dan maklumat terperinci mengenai kandungan yang diadukan. Salinan emel/surat yang telah dihantar kepada pihak pemilik/pentadbir laman web ataupun pihak berkuasa lain juga patut disertakan.
Anda boleh membuat laporan kepada kami di laman web http://aduan.skmm.gov.my/atau mana-mana saluran aduan yang disediakan oleh MCMC. Pihak kami akan mengkaji aduan tersebut dan akan membantu pihak tuan/puan menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Pihak MCMC akan memaklumkan penerimaan aduan tuan/puan berserta dengan nombor rujukan dalam masa 3 hari selepas aduan diterima (pengesahan untuk aduan melalui laman web/portal Aduan MCMC akan diterima dalam masa 1 hari). Anda akan menerima jawapan hasil siasatan MCMC dalam masa 15 hari dari tarikh aduan diterima.
Ketiga:
Membuat laporan kepada pihak berkuasa berkaitan seperti PDRM, KPDNKK, BNM dan agensi-agensi penguatkuasa yang berkaitan.
Pihak MCMC bukanlah satu-satunya agensi yang mempunyai kuasa untuk menyiasat aduan berkaitan kandungan di Internet. Pemberian kandungan di Internet adalah tertakluk kepada semua undang-undang Negara yang berkaitan dan laporan/aduan boleh di buat di agensi-agensi berkuatkuasa mengikut bidang kuasa masing-masing.